Anak Raja Kayangan Dan 7 Puteri Raja
Di sebatang tebing sungai, terletaknya sebuah istana yang megah dan cantik. Seorang Raja tinggal bersama tujuh orang puteri yang bahagia. Baginda amat menyayangi anak bongsunya.
Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk.
Penghuninya seorang perempuan setengah umur. Kerjanya bertani sepanjang hayatnya.
Perempuan itu sangat inginkan seorang anak lelaki. Pada suatu hari,
dia minum air di sebuah tempurung. Keajaipan berlaku apabila ia mengandung lalu melahirkan
seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal.
Setelah besar, Beruk Tunggal menolong ibunya bertani. Tahun
itu padi menjadi tetapi diserang tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus
yang menyerang padinya. Kemudian dia mencari Raja Tikus. Apabila bertemu, Raja
Tikus itu diberi amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal
jelmaan seorang anak raja kayangan.
“Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan tuanku,” kata Raja
Tikus.
“Padi aku sudah habis. Apakah tindakan kamu?” Tanya Beruk
Tunggal.
“Hamba akan suruh rakyat hamba mengumpulkan butir emas,”
kata Raja Tikus.
“Baiklah, aku terima pemberian itu!” kata Beruk Tunggal.
Kemudian, segala tikus itu datang membawa butir emas. Banyaklah emas di pondok
Beruk Tunggal.
Beruk Tunggal meminta emaknya meminang puteri raja. Emaknya
pun pergi ke istana. Raja terkejut mendengar permohonan perempuan itu. Namun
raja menyampaikan juga permohonan itu kepada ketujuh-tujuh orang puterinya.
“Kahwin dengan beruk?” Tanya Puteri Sulung. Puteri yang lain
turut hairan. Hanya Puteri Bongsu yang bersopan-santun sahaja yang sanggup
menjadi isteri Beruk Tunggal.
Raja dan permaisuri kasihan kepada Puteri Bongsu. Baginda
meminta hantaran sebentuk cincin berlian. Pada fikiran raja, tentulah perempuan
miskin itu tidak berdaya menyediakannya.
Beruk Tunggal memohon kepada ayahandanya, Raja Kayangan.
Pada malam itu, ayahanda Beruk Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak
Beruk Tunggal pun mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana.
Dia meminta baginda memilih sebentuk cincin yang sesuai.
Raja tidak dapat mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan dengan Beruk Tunggal.
Puteri raja yang lain menghina dan mencaci puteri bongsu raja tersebut kerana sanggup berkahwin dengan seekor beruk.
Raja berasa malu dengan tomahan dari rakyat jelata, lalu baginda tidak mahu mereka tinggal di istana.
Puteri Bongsu mengikut Beruk Tunggal tinggal dipondoknya. Pada malam pertama,
Puteri Bongsu menemui sarung beruk. Esoknya, Beruk Tunggal tidak bersarung
lagi. Dia bertukar menjadi seorang pemuda yang kacak.
“Kekanda sebenarnya putera Raja Kayangan. Bakarlah sarung
beruk itu. Taburkan sedikit debunya di luar pondok. Pintalah sesuka hati
adinda,” kata putera Raja Kayangan.
Puteri Bongsu mengikut suruhan putera raja itu. Sebentar itu
juga pondoknya bertukar menjadi istana, lengkap dengan taman yang indah. Mereka tinggal bahagia didalam istana baru mereka.
Pengajaran :
1. Jangan mencuri hak orang lain.
2. Jangan memandang hina kepada orang miskin.
No comments:
Post a Comment