Sikap ibu bapa pengaruhi anak
Dalam laman Facebook pendakwah terkenal, Ustazah Norhafizah Musa mencatatkan, jika kita lihat anak lakukan kesalahan, bukan anak saja yang perlu bertaubat kepada Allah, ibu bapa lebih-lebih lagi. Mungkin pada kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan itu, ada bahagian untuk kita.
Memang benar, sikap ibu bapa memberi pengaruh besar dalam kehidupan seseorang anak terutama ketika mereka kecil. Walaupun tidak dinafikan adanya sumbangan daripada faktor sekeliling, namun apa yang dilihat setiap hari di dalam rumah akan lebih terpahat dalam fikiran dan hati anak.
Tidak hairanlah jika ibu atau bapa panas baran akan melahirkan anak yang cepat marah. Sekiranya ibu bapa sering bersikap negatif, maka si anak membesar menjadi individu yang negatif juga.
Ramai pakar kekeluargaan berkata, anak menjadi cermin kepada sesebuah keluarga khususnya ibu bapa. Ada ibu bapa yang merungut dan berasa malu apabila anak menunjukkan perangai atau menggunakan perkataan tidak sopan di khalayak, tetapi ramai tidak sedar bahawa anak hanyalah mengulang apa yang sering kita lakukan di rumah.
Walaupun saiz badan mereka kecil, tetapi kanak-kanak individu yang pintar. Mereka belajar mengenali badan, kemampuan dan pelbagai perkara melalui tindakan dan perkataan ibu bapa. Kanak-kanak akan meniru tindakan ibu bapa mereka.
Jadi cara terbaik untuk menanamkan nilai murni pada diri mereka bukan melalui hadiah atau hukuman, tetapi dengan menunjukkan teladan. Kalau mahu anak berkelakuan baik, kita sendiri perlu sanggup melakukan perubahan dengan meninggalkan tabiat buruk yang dikhuatiri lebih mudah dicontohi. Antara tabiat yang perlu kita kikis ialah:
Selalu mengkritik diri sendiri
Ramai wanita selalu berasakan diri mereka kurang cantik dan tidak berpuas hati dengan bentuk badan sendiri. Kalau kita sentiasa merungut, anak perempuan khususnya secara tidak langsung akan mencari-cari kekurangan diri mereka sendiri. Mereka tidak suka dengan apa yang dilihat di cermin dan sentiasa berasakan orang lain jauh lebih baik sedangkan setiap orang itu ada kelebihan tersendiri.
Perkara ini boleh memberi kesan jangka panjang. Anak membesar menjadi individu yang kurang keyakinan diri. Untuk mencapai tahap yang dirasakan cantik, mungkin mereka cuba mengamalkan diet yo-yo dan akhirnya mengalami masalah pemakanan.
Kalau anda rasa berat badan sudah bertambah, ambillah langkah proaktif dengan mengajak suami dan anak bersenam. Ia bukan saja dapat membantu mengurangkan berat badan malah memperbaiki kesihatan. Pada masa sama anda boleh menyuntikkan kata-kata semangat kepada anak (dan diri sendiri) yang akan meningkatkan keyakinan mereka.
Suka melabel atau memberi gelaran pada seseorang
Kadangkala kita memberi gelaran tertentu berdasarkan keadaan fizikal seseorang. Walaupun ia bertujuan untuk bergurau, tetapi ia sebenarnya memberi banyak kesan negatif pada seseorang anak, apatah lagi jika gelaran itu akhirnya menjadi bahan usikan atau ejekan. Lebih buruk jika gelaran itu diketahui rakan sebaya.
Sebelum anak lahir, kita jenuh mencari nama yang cantik dan baik untuk diberikan kepada bakal putera atau puteri. Jadi mengapa mensia-siakan usaha sendiri? Panggilan yang baik juga sedikit sebanyak akan mempengaruhi peribadi anak.
Terlalu menekankan pada perkara luaran dan kebendaan
Tidak dinafikan penampilan yang menarik itu penting, tetapi sudah sampai masanya untuk kita mengamalkan sikap bersederhana. Jangan sampai sikap kita yang terlalu memberi penekanan kepada kecantikan dan kebendaan itu terpercik ke dalam jiwa anak. Susun keutamaan dalam hidup kita - agama, akademik dan pembentukan sahsiah diri. Ingat, individu yang yakin dengan diri sendiri akan kelihatan lebih menarik walaupun penampilannya sederhana.
Suka membandingkan seseorang dengan individu lain
Memang ada ibu bapa yang suka membandingkan anak dengan adik- beradiknya. Walaupun ia bertujuan baik, tetapi anak yang masih kecil biasanya tidak memahami maksud anda. Mereka mungkin akan menyangka anda lebih sayang pada abang atau kakak. Tidak kira berapa pun umur seseorang, tiada siapa suka dibandingkan dengan orang lain.
Hentikan sikap ini, sebaliknya fokus pada kelebihan anak berkenaan. Setiap anak ada kelebihan tersendiri. Carilah kelebihan ini supaya anak akan berasa dirinya disayangi dan dihargai. Apabila anak melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh, pujilah pada usahanya walaupun hasilnya tidak seberapa.
Terlalu asyik dengan gajet pintar
Tidak adil untuk kita menyuruh anak supaya berjauhan dengan gajetnya jika kita sendiri ‘diikat’ oleh laman sembang, e-mel atau tidak berhenti menghantar pesanan ringkas terutama di meja makan. Tindakan kita memberi impak yang lebih kuat berbanding kata-kata. Jadi, kitalah yang perlu menunjukkan teladan.
Caranya mudah saja, ketepikan dan letak telefon bimbit di satu tempat supaya kita sekeluarga dapat menikmati waktu makan tanpa gangguan. Cari topik untuk dibualkan atau tanyakan pengalaman harian anak. Ia dapat menjadikan waktu makan sekeluarga lebih menyeronokkan dan berharga.
Kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa dengan komputer biasanya mengalami masalah mengantuk, prestasi pelajaran merosot dan pertambahan berat badan kerana tiada masa beriadah. Malah, ada kajian mendapati kanak-kanak yang makan bersama seisi keluarga mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami masalah kegemukan.
Begitu juga bagi si kaki menonton televisyen. Cuba kira berapa jam kita habiskan duduk di depan televisyen. Tahukah anda semakin panjang tempoh kita menonton televisyen, semakin tinggi risiko untuk mendapat pelbagai penyakit gaya hidup? Bertindaklah sekarang supaya anak-anak tidak terikut-ikut dengan
sikap yang kurang bermanfaat ini.
Cepat marah
Jika anda termasuk dalam kumpulan orang yang cepat marah, belajar dan berusahalah untuk mengawal perasaan. Sikap ini bukan saja akan memburukkan kesihatan anda malah turut memberi kesan besar terhadap psikologi anak-anak. Anak yang dibesarkan dalam suasana negatif akan beranggapan mereka boleh bercakap dengan nada yang tinggi kerana ia perkara biasa dalam kehidupan mereka.
Setiap kali ibu bapa marah, anak mungkin berfikir merekalah punca kemarahan itu. Lama-kelamaan anak akan berasa kurang yakin dan lebih suka menyendiri. Malah, ada kemungkinan anak akan menjadi individu yang cepat marah juga.
Mengumpat
Makna mengumpat ialah menceritakan perkara benar yang tidak disukai oleh seseorang. Kalau kita mengada-adakan cerita mengenai seseorang, itu namanya memfitnah. Mengumpat dan mengkritik seseorang sebenarnya hanya menunjukkan kelemahan diri sendiri. Ia menunjukkan kita kurang yakin pada diri sendiri.
Jadi, jangan wariskan sikap tidak baik ini pada anak. Walaupun anak sedang bermain, tetapi telinga mereka cukup tajam mendengar kata-kata anda yang tidak baik. Bukan saja tidak berfaedah, mengumpat juga adalah satu dosa besar yang perlu dihindari sedaya mungkin.
Bak kata pencetus motivasi terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad, cubit mulut apabila terasa hendak mengumpat dan segera beristighfar memohon keampunan Allah.
No comments:
Post a Comment