Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday 30 October 2014

Karaoke sebalik zink



Shah Alam: Sebuah restoran di Jalan Kota Raja, Seksyen 27, di sini, didapati menyediakan aktiviti hiburan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan berselindung di sebalik pagar zink selain hanya beroperasi pada waktu malam.
Aktiviti restoran berkenaan dikesan selepas ia diserbu sepasukan anggota imigresen kelmarin dalam satu operasi yang dilancarkan kira-kira jam 1 pagi.
Kewujudan restoran ala pusat hiburan itu sukar dikesan malah dalam serbuan itu, kawasan luar restoran terbabit kelihatan seperti sebuah tapak pembinaan namun apabila melangkah ke bahagian dalam keadaannya adalah sebaliknya.
Ketika serbuan kira-kira 20 pengunjung berada dalam restoran berkenaan dan mereka dihiburkan dengan nyanyian karaoke oleh pengunjung.
Seorang wanita warga asing yang juga dipercayai penyanyi di restoran itu turut ditahan apabila pemeriksaan mendapati dia mempunyai pas perjalanan mencurigakan.
Menurut wanita berusia 20-an itu, dia mendapat pasport itu dari seorang lelaki selepas pasport asalnya hilang kira-kira setahun lalu dan tidak menyangka dia ditipu kerana lelaki berkenaan mendakwa mempunyai rakan dengan pihak kedutaan Indonesia.
Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor yang juga ketua operasi itu Ramli Othman berkata, operasi yang dijalankan selama lima jam itu mensasarkan pusat hiburan di sekitar bandaraya ini dan Klang.
Katanya, serbuan adalah hasil aduan daripada orang awam dan pihaknya mendapati kebanyakan wanita warga asing yang bekerja di pusat hiburan itu hanya menggunakan pas lawatan sosial.
"Hasil serbuan itu, seramai 18 warga asing termasuk enam lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Daripada jumlah itu, sembilan adalah wanita Vietnam dan mereka ini bekerja di pusat hiburan, malah ada di antara mereka ini dipercayai berkahwin dengan lelaki tempatan bagi mendapatkan perlindungan serta membolehkannya bekerja di sini," katanya.
Menurutnya, mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan akan dihantar ke Depoh Tahanan Semenyih untuk siasatan susulan.

Info : Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...