Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday 30 October 2014

Naluri ibu selamatkan anak bongsu



JOHOR BAHRU - Naluri seorang ibu yang secara tiba-tiba pulang ke rumah untuk membawa keluar anak bongsunya makan menyelamatkan kanak-kanak itu apabila kediaman yang dihuni mereka sekeluarga di Jalan Baiduri 7 Ulu Tiram, di sini musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.


Sarimah Mohd Noor, 46, berkata, pada kebiasaan anak bongsunya, Muhammad Zulfakar Ali Mohamed, 12, ditinggalkan bersendirian kerana dia bekerja sebagai kerani di sebuah kilang di Taman Perindustrian Desa Cemerlang.


Bagaimanapun menurutnya, pada hari kejadian dia mengheret anaknya keluar mengikutnya ke kedai makan di Pekan Ulu Tiram, meskipun anak kesayangannya itu enggan mengikutnya.


“Saya tak dapat nak cakap apa perasaan saya, selain bersyukur kerana Tuhan selamat dan melindungi anak saya lagi.


“Saya tak pernah bawa keluar anak makan pada hari bekerja kerana saya hanya akan tinggalkan makanan yang akan dijamahnya selepas pulang dari sekolah.


“Bagaimanapun pada hari itu saya tergerak hati hendak makan bersamanya dan walaupun dia enggan mengikut saya, tapi saya tetap mendesak dan mengheretnya ke dalam kereta supaya menemani saya yang belum menjamah makanan sejak dari pagi,” katanya kepada pemberita yang melakukan lawatan bersama pemimpin masyarakat ke kediamannya, di sini, semalam.


Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar, Tan Cher Puk; Wakil Ahli Parlimen Tebrau, Ng Yew Aik dan Ahli Majlis Zon Tiram Bandar yang juga wakil Adun Tiram, Nor Azhar Abdul Hamid.


Sarimah berkata, sebaik dihubungi jiran selepas kurang 10 minit meninggalkan rumah, dia bergegas pulang dan begitu luluh hatinya apabila melihat rumah yang dihuninya sejak lebih 21 tahun sedang marak dijilat api.


Menurutnya, lebih memilukan apabila kediaman yang telah selesai pinjaman bank itu lebih 11 tahun lalu menyimpan seribu kenangan bersama arwah suami yang telah pergi dahulu lebih lima tahun lalu.


“Saya dan tiga lagi anak sekarang ini menumpang di rumah pakcik dan agak buntu apabila tidak lagi dilindungi insurans kerana pinjaman telah habis dijelaskan sejak lebih 11 tahun lalu, sedangkan rumah saya musnah.


“Saya percaya kebakaran ini berpunca daripada litar pintas selepas anak saya mengaku tidak memasak. Jiran  nampak api mula membakar di bahagian tengah rumah,” katanya.


Sementara itu, Cher Puk berkata, pihaknya akan berusaha membantu membaikpulih kediaman Sarimah yang telah musnah melalui Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Ahli Parlimen Tebrau, Khoo Soo Seang dan Adun Tiram, Datuk Maulizan Bujang serta Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran A Rahman.


“Kita akan bantu membaikpulih kediaman yang musnah ini memandangkan dia (Sarimah) merupakan seorang ibu tunggal dan rumahnya tidak lagi dilindungi insurans selepas ansuran bulanan rumahnya sudah habis dibayar.


“Jadi saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana walaupun ansuran sudah habis dibayar, kalau boleh sediakan insurans yang boleh melindungi kediaman masing-masing,” katanya.


Kunjungan pemimpin tempatan, semalam turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai kepada tiga mangsa yang terlibat dalam kebakaran, kelmarin.


Info : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...