Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday 9 April 2015

Bayaran PTPTN Mengikut Pendapatan Seseorang

Shamsul Anuar Nasarah
KUALA LUMPUR 9 April –Perbadanan Tabung Pendi­dikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak yang terlibat bagi mereali­sasikan hasrat kerajaan mengenai kaedah pembayaran pembia­yaan yang baharu berdasarkan pendapatan.

Pengerusinya, Datuk Shamsul A­nuar Nasarah berkata, perbincangan meliputi aspek perunda­ngan, mekanisme yang bersesuaian serta juga memperhalusi kes-kes dan situasi peminjam-peminjam PTPTN.

Kata beliau, cadangan bayaran balik berdasarkan pendapatan itu dilihat merupakan salah satu pendekatan terbaik bagi memastikan semua peminjam yang mempunyai kemampuan membuat bayaran balik pembiayaan.

“Melalui kaedah tersebut, jumlah ansuran bulanan dicadangkan berdasarkan kepada peratusan tetap daripada pendapatan bulanan peminjam berbanding pelaksanaan sedia ada berdasarkan kepada jumlah pembiayaan yang diterima.




“Para peminjam perlu mula membuat bayaran balik apabila mempunyai pendapatan pada tahap atau jumlah tertentu dan kaedah ini telah diamalkan oleh beberapa buah negara termasuk Australia dan New Zealand,” katanya menerusi kenya­taan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap dalam majlis Pelancaran PPPM (PT) 2015-2025, Selasa lalu berkata, untuk pembiayaan pelajar, kemapanan PTPTN perlu di­tingkatkan melalui penambahbaikan formula pembayaran balik yang akan beralih kepada bentuk pinjaman luar jangka.

Muhyiddin berkata, ini bermakna mahasiswa perlu membayar balik pinjaman apabila mereka memperoleh pendapatan pada tahap tertentu. Selain itu, sumber kewangan akan dipelbagai dengan mewujudkan Tabung Endowmen dan Waqaf di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Shamsul Anuar, kebaikan kaedah itu adalah proses pengesanan peminjam lebih mudah, secara tidak langsung me­ningkatkan prestasi pembayaran balik pembiayaan sebagaimana di Australia (80 peratus) dan di New Zealand (90 peratus) berbanding 50 peratus bagi kadar bayaran balik PTPTN.

“Ini kerana bayaran balik akan dibuat secara automatik daripada gaji peminjam apabila mereka mencapai tahap yang ditetapkan. Malah ia juga dilihat tidak membebankan peminjam memandang­kan bayaran balik dan ansuran adalah mengikut kemampuan dan keupayaan kewangan sebenar peminjam.

“Selain itu, peminjam yang masih tidak mampu tidak dibeban­kan dengan tindakan pe­nguat­kuasaan. Secara puratanya, tempoh penyelesaian hutang juga akan menjadi lebih pendek dibandingkan dengan kaedah sedia ada,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Shamsul, berdasarkan trend pembiayaan semasa, PTPTN telah menyediakan peruntukan pembiayaan pendidikan berjumlah RM5 bilion setiap tahun bagi membiayai kos yuran dan sara hidup pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

“Kami juga perlu menyediakan sejumlah peruntukan bagi membayar balik pembiayaan kepada institusi kewangan pada tarikh matang pembiayaan berkenaan. Sebagai sebuah agensi yang me­nguruskan pembiayaan, wajar sekiranya dana pusingan diuruskan melalui pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman yang le­bih efisien.

Maklumat Dari UTUSAN MALAYSIA
NUR ATHIRAH 
NABILAH MUSA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...