Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Showing posts with label sinar harian. Show all posts
Showing posts with label sinar harian. Show all posts

Thursday, 31 July 2014

Filem Malaysia Kurang Memuaskan?

Kualiti filem tempatan kurang memuaskan?

MESKIPUN pawagam penuh dengan lambakan filem-filem tempatan dengan pelbagai genre namun kualiti filem tempatan masih berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.
Penyelidik Bidang Perfileman dan Pensyarah Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Jamaluddin Aziz berkata, kualiti filem tempatan masih rendah jika dibandingkan dengan filem-filem negara jiran yang telah mendapat sambutan di luar lingkungan Asia Tenggara.
"Filem tempatan tidak kira berbahasa Melayu, Inggeris, Tamil atau Cina, masih lagi tidak berkembang. Hal ini saya bandingkan dengan filem-filem darim Thailand, Singapura dan Indonesia.
"Filem seperti "The Journey" hanya muncul sekali sekala dan ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur perkembangan filem tempatan", katanya kepada Bernama.

BILANGAN FILEM BANYAK, KUALITI TIADA

Beliau turut berkata jika jumlah kutipan dijadikan penanda aras, maka filem tempatan masih ditakuk lama dan berada dalam keadaan 'nazak'.
Bagaimanapun, beliau berkata jika kuantiti filem yang diterbitkan dijadikan kayu ukur, maka filem tempatan boleh disifatkan sebagai berkembang.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sebanyak 76 filem tempatan dihasilkan pada tahun 2012 manakala 71 filem pada tahun lepas.

Ini bermakna purata 73 filem dihasilkan setiap tahun atau 6 filem setiap bulan, satu pencapaian yang membanggakan.
Bagaimanapun, jumlah kutipan kasar yang diraih daripada filem tempatan adalah hanya RM97.29 juta pada tahun 2012 dan RM85.34 juta pada tahun 2013. Ini
jauh ketinggalan berbanding satu-satu filem 'blockbuster' Hollywood yang boleh meraih pulangan hampir tiga kali ganda.  
Mengulas lanjut, Dr Jamaluddin berkata hasil penyelidikannya bersama Finas mengenai filem tempatan mendapati ketandusan skrip dan idea yang baru serta
bersifat sejagat menjadi penghalang kepada pengeluaran filem tempatan yang
berkualiti.

KETANDUSAN SKRIP MENARIK
"Sebenarnya masalah skrip yang bermutu adalah masalah sejagat juga, tetapi di Malaysia ia agak ketara kerana sikap masyarakat kita yang kurang membaca dan kurang menghargai karya sastera yang bermutu tinggi. Karya-karya sebegini biasanya memartabatkan budaya negara dan pada masa yang sama bersifat universal", katanya
Beliau turut menggesa pembikin filem supaya berkerjasama dengan pengkritik filem kerana ia mampu membawa satu pemikiran atau keintelektualan dalam industri perfileman.
"Dengan penyelidikan yang sistematik, sekurang-kurangnya pembikin filem boleh mendapat sedikit ilmu tentang sikap dan kemahuan khalayak tempatan.

Kedua-dua pihak perlu berintegriti dan bersikap saling membantu industri filem tempatan", tambah beliau.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia masih kurang berjaya dalam mewujudkan budaya filem yang sihat kerana filem tempatan tidak mempengaruhi penonton secara mendalam dan gagal melahirkan penonton yang celik filem yang boleh memahami tema dan subteks filem.
Beliau juga berkata sesetengah pembikin filem juga tidak faham tentang fungsi, peranan, malah keupayaan filem dalam memberi pengajaran kepada masyarakat.
      

FILEM BOLEH MENDIDIK MASYARAKAT
Dr Jamaluddin turut berkata, filem di negara ini hanya dilihat sebagai sumber hiburan semata-mata sebaliknya filem sepatutnya mendidik penonton secara langsung mahupun tidak langsung.
Sumbangan filem tempatan daripada aspek ekonomi agak berjaya kerana filem bermutu menjana pendapatan negara seperti yang diteraskan dalam Dasar Industri Kreatif Negara tetapi bukan daripada aspek budaya.
"Filem boleh dikatakan sebagai perakam budaya, jadi ianya perlulah jujur dalam menyampaikan ceritanya. Kejujuran inilah bagi saya satu sumbangan yang filem kita boleh berikan kepada negara dan masyarakat. Tetapi hal ini kurang kelihatan di negara kita kerana ketiadaan budaya filem yang sihat", katanya.
Menurutnya, pembikin filem kebanyakannya mengeluarkan filem untuk mencari punca pendapatan, maka keputusan yang mereka buat adalah untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Apabila filem komedi seram laris di pasaran, maka ramai yang menghasilkan filem genre itu berpaksikan wang Ringgit tanpa memikirkan idea dan kreativiti yang semakin berkurang sekaligus berlaku kemerosotan kualiti genre itu.
Malaysia memerlukan lebih banyak filem tempatan tidak kira genre janji boleh membuatkan masyarakat berfikir tentang kedudukannya dalam konteks peradaban dunia kini dan berharap pembikin filem tanah air mewujudkan satu gelombang transformasi baru dalam dunia perfileman. - Bernama

Info : Sinar Harian

Thursday, 27 February 2014

Saman Hadi: Anwar bakal umum keputusan PKR

Saman Hadi: Anwar bakal umum keputusan PKR

Info : www.sinarharian.com.my

KUALA TERENGGANU – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan kata sepakat yang dicapai PKR Terengganu berhubung isu saman yang diambil bekas calon PKR, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, pihaknya telah pun mencapai satu keputusan yang disifatkan positif dalam mesyuarat parti itu semalam, tetapi enggan mendedahkan perkara tersebut sebaliknya menyerahkan kepada Anwar untuk mengumumkan dalam masa terdekat.

Azan menjelaskan bahawa kata sepakat itu menjamin kebaikan bersama antara Pas dan PKR selain mengambil kira pandangan Mohd Shamsul yang turut hadir dalam mesyuarat itu.

“Setelah perbincangan dibuat dan melihat kepada semua aspek kepentingan kedudukan PR baik di peringkat Pusat dan negeri terutamanya yang melibatkan kerjasama dan ukhuwah antara PKR Terengganu serta Pas Terengganu dan demi mengukuhkan kedudukan PR di peringkat Pusat, kami telah mencapai kata sepakat atas kedudukan isu ini dan kita akan sampaikan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diumumkan dalam masa terdekat sekembalinya beliau daripada tugasan di luar negeri, insya-ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Pejabat Perhubungan PKR Terengganu, di Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Ahad lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Abdul Hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Ketika ditanya kenapa baru sekarang PKR Terengganu mengambil inisiatif mencapai kata sepakat berhubung isu saman terhadap Abdul Hadi, Azan menjelaskan baik di peringkat negeri atau Pusat, PKR melihat perkara tersebut sebagai tindakan peribadi dan tiada kena mengena dengan parti.

Tanpa campur tangan parti katanya, PKR turut membuktikan bahawa parti itu tidak mengamalkan autokrasi dalam pengurusan parti, sebaliknya menghormati pandangan pendirian peribadi ahli dalam isu mahkamah tersebut.

Tidak menolak bahawa PKR Terengganu patut mengambil tindakan lebih awal, Azan bagaimanapun percaya pengumuman tersebut kelak akan memperkuatkan pengukuhan kerjasama dalam PR di setiap peringkat terutama Terengganu.

“Kedua-dua pihak juga (Pas dan PKR) menganggap kedudukan ini sama (berlandaskan peribadi) maka setelah berlakunya pengisytiharan (penghakiman ingkar terhadap Abdul Hadi) beberapa hari lepas, kita merasakan perkara ini patut kita uruskan dari awal,” katanya.

Sementara itu, Azan turut melihat isu tersebut tidak akan sesekali memberi kesan kepada PRK Dun Kajang ataupun mempengaruhi kedudukan calon PKR di kerusi N25 itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...