Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Showing posts with label cerita malaysia. Show all posts
Showing posts with label cerita malaysia. Show all posts

Friday, 28 February 2014

Pintu masih terbuka buat Koo

Norza (dua dari kanan) bersalam dengan Koo pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bagi memutuskan masa depan Kien Keat-Boon Heong, semalam.
Kuala Lumpur: Walaupun menerima keputusan Koo Kien Keat yang meletak jawatan pada 21 Februari lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap membuka pintu buat pemain beregu lelaki nombor satu negara itu andai mahu kembali ke pangkuan badan induk berkenaan dan mewakili negara.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria menyifatkan ketiadaan Kien Keat sebagai satu kehilangan besar kepada badan induk itu kerana dia bersama pasangannya, Tan Boon Heong yang digandingkan sejak 2006 banyak menyumbangkan kejayaan demi mengharumkan nama negara.
“Selepas berbincang dengan beberapa ahli majlis tertinggi BAM hari ini (semalam), kami menerima keputusan Kien Keat. Namun, dalam masa sama BAM berbesar hati untuk menerimanya kembali jika dia mahu beraksi atau menjadi mentor kepada generasi baru pada masa akan datang.

“Begitupun, jika dia mahu kembali ke BAM dan mewakili negara, dia perlu menjalani proses dari awal seperti yang dilaluinya sebelum ini. Kita juga akan lihat tahap kecergasan dan prestasinya ketika itu,” kata Norza pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bagi memutuskan masa depan Kien Keat-Boon Heong.

Banyak kritikan

Mengulas nasib Boon Heong yang kini sudah tiada gandingan, Norza berkata: “Kita ada bincang perkara ini tetapi tidak menyeluruh kerana ia adalah keputusan barisan kejurulatihan. Namun, saya sarankan agar tidak mengambil masa terlalu lama kerana ada banyak kejohanan besar tahun ini.”
Sementara itu, Kien Keat yang turut hadir ketika sidang media berkenaan menyifatkan keputusannya untuk meninggalkan BAM adalah tepat dan berharap Boon Heong akan terus melakar kejayaan buat negara bersama pasangan baru kerana dia masih mempunyai masa depan yang cerah.

“Keputusan ini bukan bermakna saya tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak termasuk BAM, tetapi terlalu banyak kritikan yang saya terima.

“Saya tidak mahu ia menjejaskan keluarga saya, apa lagi saya akan bakal menjadi bapa tidak lama lagi (April ini),” katanya yang mengakui belum ada perancangan mengenai hala tujunya selepas ini tetapi memaklumkan yang dia mahu berehat seketika daripada arena badminton.

Info : www.bharian.com.my

MoU industri air tak boleh diubah

Info : www.bharian.com.my

Muhyiddin bersama Mei Fun beramah mesra bersama penduduk di Pusat Perniagaan Kwan Tung, Jalan Wan Siew, Sungai Chua, Kajang.
Kajang: Memorandum persefahaman (MoU) berhubung penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor tidak boleh diubah sekalipun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu terkandung dalam MoU dan ia kewajipan yang tetap bagi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor serta tidak boleh diubah dalam apa keadaan sekalipun.
Sudah tetap

“Walaupun MoU, ia adalah perjanjian yang sudah tetap dan tidak boleh diubah walau apapun. Kepentingan rakyat mesti diutamakan dan harap berjalan lancar seperti dalam perjanjian. Kemungkinan perjanjian itu diubah sudah diambil kira. Jadi, kedua-dua pihak perlu menghormati dan memenuhi komitmen terhadap perjanjian itu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di Sungai Chua, di sini semalam, Muhyiddin turut melahirkan rasa lega apabila projek yang tergendala sekian lama itu diteruskan demi kepentingan rakyat walaupun Kerajaan Pusat dan Selangor berlainan ideologi politik.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada Anwar boleh menghentikan projek Langat 2 sekiranya beliau menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini, dan menjadi Menteri Besar Selangor.

Langat 2 yang tertangguh hampir enam tahun, disambung semula berkuat kuasa serta-merta selepas Kerajaan Pusat dan Selangor menandatangani MoU berhubung penstrukturan semula industri bekalan air negeri itu, Rabu lalu.

Selesai masalah

Projek berkenaan dapat menyelesaikan masalah bekalan air bagi jangka panjang, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Pusat dan negeri menerusi kerjasama strategik yang mendahulukan rakyat tanpa mengira sempadan politik.

Mengulas dakwaan Anwar kononnya beliau dan partinya tidak tahu menahu mengenai MoU itu, Muhyiddin berkata, ia agak luar biasa kerana Ketua Pembangkang itu juga Penasihat Ekonomi Selangor.

“Agak aneh Anwar jadi penasihat (ekonomi), tapi tidak tahu apa yang berlaku. Ini menunjukkan beliau tidak memberikan nasihat dan perhatian,” katanya yang sebelum itu meluangkan masa hampir sejam melawat beberapa pusat perniagaan Kwan Tung, di sini,” katanya.

Bunuh Diri Angkara Cinta

Bunuh diri cinta ditolak

Bayan Lepas: Kecewa cintanya ditolak, seorang lelaki membunuh diri dengan menggantung diri di pokok berhampiran kilang tempat kerjanya di Zon Perindustrian Bebas (FIZ), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa berusia 20-an berasal dari Nepal ditemui dalam keadaan tergantung di pokok oleh seorang pengawal keselamatan sebelum dia memaklumkan kejadian terbabit kepada polis.

Menurut sumber, sebelum itu mangsa yang baru selesai bekerja di kilang berhampiran bertemu dengan teman wanitanya sebelum mereka dikatakan bertengkar.

“Hasil siasatan mendapati mangsa cuba berbincang mengenai hubungannya bersama teman wanitanya, namun cintanya ditolak wanita terbabit membuatkan dia kecewa.

“Mangsa kemudian menggantung diri di atas pokok dengan kain hitam sebelum mayatnya ditemui seorang pengawal keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian pekerja kilang itu.

Info : www.hmetro.com.my

Anwar menang RM800,000 dalam kes Papagomo

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengesahkan Wan Mohd Azri Wan Deris adalah Papagomo dan beliau didapati memfitnah Ketua Umum Datuk seri Anwar Ibrahim.

Sewaktu memberi keputusan, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop turut mengarahkan Wan Mohd Azri membayar RM800,000 sebagai ganti rugi.

Peguam yang mewakili Anwar, N Surendran berkata mahkamah juga mengarahkan Wan Mohd Azri membayar kos sebanyak RM50,000. Rosilah membuat keputusan itu dalam kamar.

Wan Mohd Azri yang hadir hari ini, masih menafikan beliau adalah Papagomo.

Info penuh : www.malaysiakini.com

Thursday, 27 February 2014

Saman Hadi: Anwar bakal umum keputusan PKR

Saman Hadi: Anwar bakal umum keputusan PKR

Info : www.sinarharian.com.my

KUALA TERENGGANU – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan kata sepakat yang dicapai PKR Terengganu berhubung isu saman yang diambil bekas calon PKR, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, pihaknya telah pun mencapai satu keputusan yang disifatkan positif dalam mesyuarat parti itu semalam, tetapi enggan mendedahkan perkara tersebut sebaliknya menyerahkan kepada Anwar untuk mengumumkan dalam masa terdekat.

Azan menjelaskan bahawa kata sepakat itu menjamin kebaikan bersama antara Pas dan PKR selain mengambil kira pandangan Mohd Shamsul yang turut hadir dalam mesyuarat itu.

“Setelah perbincangan dibuat dan melihat kepada semua aspek kepentingan kedudukan PR baik di peringkat Pusat dan negeri terutamanya yang melibatkan kerjasama dan ukhuwah antara PKR Terengganu serta Pas Terengganu dan demi mengukuhkan kedudukan PR di peringkat Pusat, kami telah mencapai kata sepakat atas kedudukan isu ini dan kita akan sampaikan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diumumkan dalam masa terdekat sekembalinya beliau daripada tugasan di luar negeri, insya-ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Pejabat Perhubungan PKR Terengganu, di Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Ahad lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Abdul Hadi gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Ketika ditanya kenapa baru sekarang PKR Terengganu mengambil inisiatif mencapai kata sepakat berhubung isu saman terhadap Abdul Hadi, Azan menjelaskan baik di peringkat negeri atau Pusat, PKR melihat perkara tersebut sebagai tindakan peribadi dan tiada kena mengena dengan parti.

Tanpa campur tangan parti katanya, PKR turut membuktikan bahawa parti itu tidak mengamalkan autokrasi dalam pengurusan parti, sebaliknya menghormati pandangan pendirian peribadi ahli dalam isu mahkamah tersebut.

Tidak menolak bahawa PKR Terengganu patut mengambil tindakan lebih awal, Azan bagaimanapun percaya pengumuman tersebut kelak akan memperkuatkan pengukuhan kerjasama dalam PR di setiap peringkat terutama Terengganu.

“Kedua-dua pihak juga (Pas dan PKR) menganggap kedudukan ini sama (berlandaskan peribadi) maka setelah berlakunya pengisytiharan (penghakiman ingkar terhadap Abdul Hadi) beberapa hari lepas, kita merasakan perkara ini patut kita uruskan dari awal,” katanya.

Sementara itu, Azan turut melihat isu tersebut tidak akan sesekali memberi kesan kepada PRK Dun Kajang ataupun mempengaruhi kedudukan calon PKR di kerusi N25 itu.

Planet Joget medan pertempuran tari Melayu

Blouse Wanita Terbaik
Info : www.kosmo.com.my

KEKAYAAN seni Melayu tradisional tiada tolok bandingnya. Namun demikian, disebabkan kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai seni agung itu, ia kian pupus ditelan arus pembangunan masa kini.

Tidak hairanlah jika muda-mudi sekarang ini tidak pernah mengenal langsung jenis tarian Melayu tradisional termasuk zapin, joget dan inang.

Dalam usaha memartabatkan semula seni tarian melayu tradisional terutamanya tarian joget, kini muncul sebuah rancangan televisyen berbentuk program realiti TV, Planet Joget.

Planet Joget merupakan sebuah program rancangan TV enam episod yang melibatkan kira-kira 66 pasangan daripada seluruh negara mencuba nasib merebut gelaran Raja Tari Melayu.

Selepas melalui beberapa penyingkiran, hanya lapan pasangan sahaja yang berjaya dipilih untuk ke peringkat akhir malam kemuncak Planet Joget yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semua pasangan diuji dengan empat segmen yang terdiri daripada segmen Tradisional, Tempur Menti, Tempur Tari dan Tempur Tari Secara Rawak (Joget Lambak).

Lapan pasangan tersebut dinilai melalui disiplin tarian termasuk elemen lentuk, liuk badan, gerak tangan kaki dan pemakaian kostum.

Program yang diacarakan oleh deejay Nasional FM, Muaz Ahmad dan pelakon baharu, Dazrin Kamaruddin menggamatkan lagi suasana sepanjang dua jam konsert tersebut berlangsung.

Menang RM100,000

Pada malam yang penuh gemilang tersebut, tuah menyebelahi pasangan dari Sarawak, Sayang Sarawak apabila muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100, 000.
Salah seorang pasangan kepada kumpulan tersebut, Safa Ghaffa, 56, yang memenangi anugerah kategori mentor mengakui kesuntukan masa dan saingan yang sengit daripada peserta lain merupakan antara cabaran sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.

“Kami hanya diberi masa dua minggu untuk mencari idea dan menggubah rentak tarian joget mengeteh yang agak sukar untuk dipelajari. Kami sangat teruja kerana segala yang diaturkan menjadi.

“Antara cabaran lain yang dihadapi oleh kami ialah berkenaan faktor usia dan pernafasan memandangkan usia yang agak lanjut kami sukar untuk mengawal pernafasan dan cepat letih,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan kumpulannya, Ghaffa berkata, mereka berhajat untuk membuka kelas tarian di Sarawak bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

“Dengan wang RM100,000 yang diperoleh daripada kemenangan ini. saya dan ahli kumpulan bercadang untuk membuka kelas tarian tradisional Sarawak untuk kanak-kanak.

“Hal ini kerana, kami rasa ia merupakan tanggungjawab kami untuk mendidik dan memupuk semangat cintakan tarian tradisional. Sekurang-kurangnya kami mempunyai pewaris suatu hari nanti,” katanya yang bekerja sebagai pembuat batik di Kampung Budaya Sarawak.

Dalam pada itu, johan bagi kategori menti yang juga daripada kumpulan Sayang Sarawak bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi.

“Ia merupakan pembakar semangat untuk golongan belia seperti kami, saya rasa pengorbanan yang ditaburkan selama ini berbaloi. Ia juga merupakan satu pengiktirafan kepada seni tari terutamanya dari Sarawak.

“Saya juga berterima kasih kepada mentor yang banyak memberi panduan kepada kami dan juri yang menilai dengan baik cara penyampaian tarian kami,” ujarnya yang mula menceburkan diri dalam bidang ini seawal umur 15 tahun.

Program yang berlangsung selama dua jam itu, dimeriahkan lagi dengan penampilan istimewa penyanyi tersohor tanah air, Ziana Zain.

Tambah istimewa, acara kemuncak itu turut menampilkan pertembungan suara daripada ratu soprano negara, Syafinaz Selamat dan tokoh Mak Yong, Rosnan Rahmah yang diiringi oleh kumpulan koir kebangsaan Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2uaZvUmvO 

Maybank untung bersih RM6.55b

Maybank untung bersih RM6.55b

2014/02/28
www.bharian.com.my

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias ketika di sidang media mengumumkan prestasi kewangan di Menara Maybank, semalam. - Foto Salhani Ibrahim
Pencapaian meningkat 14 peratus cecah rekod baharu

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) terus mencatatkan prestasi kewangan kukuh dengan keuntungan bersihnya melonjak 14 peratus ke paras tertinggi baharu, RM6.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 berbanding RM5.75 bilion tahun sebelumnya.

Pendapatan bersih kumpulan perbankan terbesar tempatan itu meningkat 10.5 peratus kepada RM18.54 bilion, disumbangkan oleh kenaikan 14.6 peratus dalam pendapatan berasaskan fi bersih dan peningkatan 8.4 peratus pendapatan berasaskan dana bersih.
Keuntungan sebelum cukainya (PBT) dalam tempoh dikaji meningkat 12.3 peratus kepada RM8.87 bilion daripada RM7.90 bilion pada tahun sebelumnya.

Berikutan pencapaian memberangsangkan itu, Maybank mengisytiharkan dividen akhir 31 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan menjadikan jumlah dividen keseluruhan tahun lalu berjumlah 53.5 sen sesaham.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata prestasi memberangsangkan itu didorong pertumbuhan kukuh perniagaannya di Asia, pertumbuhan pembiayaan tinggi dan inisiatif pengurusan kos yang baik.

Katanya, tumpuan serantau kumpulan terus membuahkan hasil dengan membantu melonjakkan PBT operasi antarabangsanya sebanyak 12.7 peratus kepada RM2.69 bilion, manakala PBT bagi operasi di Malaysia meningkat 12.1 peratus.

Beliau berkata, prestasi kukuh juga dicatatkan anak syarikatnya di Indonesia, Bank Internasional Indonesia (BII) dengan meraih keuntungan bersih 1.55 trilion rupiah (kira-kira RM435.55 bilion) tahun lalu, meningkat 28 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Perbankan perniagaan Islam, Maybank Islamic yang kini tersenarai sebagai bank Islam ketiga terbesar di dunia dari segi aset, turut mencatatkan pertumbuhan cemerlang dengan keuntungan bersihnya meningkat 17 peratus kepada RM1.39 bilion,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan itu di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Mohamed Rafique Merican.

Farid berkata, dalam tahun kewangan dikaji, pembiayaan kumpulan Maybank berkembang 14 peratus, sekali gus melepasi sasaran penunjuk prestasi utama (KPI) tahunannya.

Katanya, pembiayaan domestik meningkat 11.9 peratus, turut melepasi pertumbuhan tahunan yang dicatatkan industri iaitu 10.6 peratus, sementara pertumbuhan pembiayaan antarabangsanya berkembang 17.6 peratus, dipacu pertumbuhan pembiayaan kukuh di Indonesia (27.9 peratus) dan Singapura (13.6 peratus).

Beliau berkata, kumpulan juga mencatatkan pertumbuhan deposit memberangsangkan dengan berkembang 14 peratus kepada RM395.6 bilion, lebih tinggi berbanding pertumbuhan industri iaitu sebanyak 12 peratus.

“Nisbah pembiayaan kepada depositnya juga kekal kukuh dengan berada pada paras 89.9 peratus, manakala liputan kerugian pembiayaan meningkat kepada 107.5 peratus berbanding 105.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Mengenai rancangan Maybank tahun ini, Farid berkata, pihaknya akan terus menumpukan kepada penerokaan nilai daripada peluang yang wujud di pasaran serantau dan pada masa sama meningkatkan produktivitinya serta mengoptimumkan hasilnya.

“Tahun ini, kami menyasar untuk mencatatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 15 peratus, pertumbuhan pembiayaan 13 peratus dan pertumbuhan deposit kumpulan 13 peratus,” katanya.

Siasatan selesai

Siasatan selesai

2014/02/28
www.bharian.com.my

Lebih 20 individu termasuk Tunku Ismail dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ‘Terowong Larkin’

Kuala Lumpur: Polis sudah menyelesaikan siasatan berhubung insiden ‘Terowong Larkin’ selepas mengambil keterangan lebih 20 individu termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PNBJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kertas siasatan insiden itu sedang mengemaskini sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Polis merekodkan keterangan lebih 20 individu yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung insiden itu.

“Kita sedang kemas kini kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat ini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Beramah Mesra bersama Pesara Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...