Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday 27 February 2014

Maybank untung bersih RM6.55b

Maybank untung bersih RM6.55b

2014/02/28
www.bharian.com.my

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias ketika di sidang media mengumumkan prestasi kewangan di Menara Maybank, semalam. - Foto Salhani Ibrahim
Pencapaian meningkat 14 peratus cecah rekod baharu

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) terus mencatatkan prestasi kewangan kukuh dengan keuntungan bersihnya melonjak 14 peratus ke paras tertinggi baharu, RM6.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 berbanding RM5.75 bilion tahun sebelumnya.

Pendapatan bersih kumpulan perbankan terbesar tempatan itu meningkat 10.5 peratus kepada RM18.54 bilion, disumbangkan oleh kenaikan 14.6 peratus dalam pendapatan berasaskan fi bersih dan peningkatan 8.4 peratus pendapatan berasaskan dana bersih.
Keuntungan sebelum cukainya (PBT) dalam tempoh dikaji meningkat 12.3 peratus kepada RM8.87 bilion daripada RM7.90 bilion pada tahun sebelumnya.

Berikutan pencapaian memberangsangkan itu, Maybank mengisytiharkan dividen akhir 31 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan menjadikan jumlah dividen keseluruhan tahun lalu berjumlah 53.5 sen sesaham.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata prestasi memberangsangkan itu didorong pertumbuhan kukuh perniagaannya di Asia, pertumbuhan pembiayaan tinggi dan inisiatif pengurusan kos yang baik.

Katanya, tumpuan serantau kumpulan terus membuahkan hasil dengan membantu melonjakkan PBT operasi antarabangsanya sebanyak 12.7 peratus kepada RM2.69 bilion, manakala PBT bagi operasi di Malaysia meningkat 12.1 peratus.

Beliau berkata, prestasi kukuh juga dicatatkan anak syarikatnya di Indonesia, Bank Internasional Indonesia (BII) dengan meraih keuntungan bersih 1.55 trilion rupiah (kira-kira RM435.55 bilion) tahun lalu, meningkat 28 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Perbankan perniagaan Islam, Maybank Islamic yang kini tersenarai sebagai bank Islam ketiga terbesar di dunia dari segi aset, turut mencatatkan pertumbuhan cemerlang dengan keuntungan bersihnya meningkat 17 peratus kepada RM1.39 bilion,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan itu di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Mohamed Rafique Merican.

Farid berkata, dalam tahun kewangan dikaji, pembiayaan kumpulan Maybank berkembang 14 peratus, sekali gus melepasi sasaran penunjuk prestasi utama (KPI) tahunannya.

Katanya, pembiayaan domestik meningkat 11.9 peratus, turut melepasi pertumbuhan tahunan yang dicatatkan industri iaitu 10.6 peratus, sementara pertumbuhan pembiayaan antarabangsanya berkembang 17.6 peratus, dipacu pertumbuhan pembiayaan kukuh di Indonesia (27.9 peratus) dan Singapura (13.6 peratus).

Beliau berkata, kumpulan juga mencatatkan pertumbuhan deposit memberangsangkan dengan berkembang 14 peratus kepada RM395.6 bilion, lebih tinggi berbanding pertumbuhan industri iaitu sebanyak 12 peratus.

“Nisbah pembiayaan kepada depositnya juga kekal kukuh dengan berada pada paras 89.9 peratus, manakala liputan kerugian pembiayaan meningkat kepada 107.5 peratus berbanding 105.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Mengenai rancangan Maybank tahun ini, Farid berkata, pihaknya akan terus menumpukan kepada penerokaan nilai daripada peluang yang wujud di pasaran serantau dan pada masa sama meningkatkan produktivitinya serta mengoptimumkan hasilnya.

“Tahun ini, kami menyasar untuk mencatatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 15 peratus, pertumbuhan pembiayaan 13 peratus dan pertumbuhan deposit kumpulan 13 peratus,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...