Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday, 27 February 2014

Planet Joget medan pertempuran tari Melayu

Blouse Wanita Terbaik
Info : www.kosmo.com.my

KEKAYAAN seni Melayu tradisional tiada tolok bandingnya. Namun demikian, disebabkan kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai seni agung itu, ia kian pupus ditelan arus pembangunan masa kini.

Tidak hairanlah jika muda-mudi sekarang ini tidak pernah mengenal langsung jenis tarian Melayu tradisional termasuk zapin, joget dan inang.

Dalam usaha memartabatkan semula seni tarian melayu tradisional terutamanya tarian joget, kini muncul sebuah rancangan televisyen berbentuk program realiti TV, Planet Joget.

Planet Joget merupakan sebuah program rancangan TV enam episod yang melibatkan kira-kira 66 pasangan daripada seluruh negara mencuba nasib merebut gelaran Raja Tari Melayu.

Selepas melalui beberapa penyingkiran, hanya lapan pasangan sahaja yang berjaya dipilih untuk ke peringkat akhir malam kemuncak Planet Joget yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semua pasangan diuji dengan empat segmen yang terdiri daripada segmen Tradisional, Tempur Menti, Tempur Tari dan Tempur Tari Secara Rawak (Joget Lambak).

Lapan pasangan tersebut dinilai melalui disiplin tarian termasuk elemen lentuk, liuk badan, gerak tangan kaki dan pemakaian kostum.

Program yang diacarakan oleh deejay Nasional FM, Muaz Ahmad dan pelakon baharu, Dazrin Kamaruddin menggamatkan lagi suasana sepanjang dua jam konsert tersebut berlangsung.

Menang RM100,000

Pada malam yang penuh gemilang tersebut, tuah menyebelahi pasangan dari Sarawak, Sayang Sarawak apabila muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100, 000.
Salah seorang pasangan kepada kumpulan tersebut, Safa Ghaffa, 56, yang memenangi anugerah kategori mentor mengakui kesuntukan masa dan saingan yang sengit daripada peserta lain merupakan antara cabaran sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.

“Kami hanya diberi masa dua minggu untuk mencari idea dan menggubah rentak tarian joget mengeteh yang agak sukar untuk dipelajari. Kami sangat teruja kerana segala yang diaturkan menjadi.

“Antara cabaran lain yang dihadapi oleh kami ialah berkenaan faktor usia dan pernafasan memandangkan usia yang agak lanjut kami sukar untuk mengawal pernafasan dan cepat letih,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan kumpulannya, Ghaffa berkata, mereka berhajat untuk membuka kelas tarian di Sarawak bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

“Dengan wang RM100,000 yang diperoleh daripada kemenangan ini. saya dan ahli kumpulan bercadang untuk membuka kelas tarian tradisional Sarawak untuk kanak-kanak.

“Hal ini kerana, kami rasa ia merupakan tanggungjawab kami untuk mendidik dan memupuk semangat cintakan tarian tradisional. Sekurang-kurangnya kami mempunyai pewaris suatu hari nanti,” katanya yang bekerja sebagai pembuat batik di Kampung Budaya Sarawak.

Dalam pada itu, johan bagi kategori menti yang juga daripada kumpulan Sayang Sarawak bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi.

“Ia merupakan pembakar semangat untuk golongan belia seperti kami, saya rasa pengorbanan yang ditaburkan selama ini berbaloi. Ia juga merupakan satu pengiktirafan kepada seni tari terutamanya dari Sarawak.

“Saya juga berterima kasih kepada mentor yang banyak memberi panduan kepada kami dan juri yang menilai dengan baik cara penyampaian tarian kami,” ujarnya yang mula menceburkan diri dalam bidang ini seawal umur 15 tahun.

Program yang berlangsung selama dua jam itu, dimeriahkan lagi dengan penampilan istimewa penyanyi tersohor tanah air, Ziana Zain.

Tambah istimewa, acara kemuncak itu turut menampilkan pertembungan suara daripada ratu soprano negara, Syafinaz Selamat dan tokoh Mak Yong, Rosnan Rahmah yang diiringi oleh kumpulan koir kebangsaan Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2uaZvUmvO 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...