Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Wednesday 30 July 2014

Wan Azizah Bakal Jadi Menteri Besar Selangor

Wan Azizah sedia pegang jawatan MB Selangor

BUTTERWORTH, 30 Julai:

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melahirkan kesediaannya memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu berkata, beliau akan menurut keputusan dan amanah parti berhubung perkara itu. PKR telah memutuskan supaya Wan Azizah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Wan Azizah berkata, jawatan itu adalah satu tanggungjawab yang berat dan menganggap ia sebagai satu ujian.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis tahlil dan sumbangan zakat kepada anak yatim bersama suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Permatang Nibong hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata PKR telah memutuskan untuk menggantikan Abdul Khalid tetapi beliau mahu mengekalkan jawatannya kerana beranggapan mendapat sokongan pihak tertentu.

Ketika ditanya tentang sokongan PAS terhadap Abdul Khalid, Anwar berkata beliau akan berbincang dengan pemimpin PAS tetapi setakat ini tiada petunjuk bahawa parti itu akan keluar daripada Pakatan Rakyat disebabkan isu itu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid dengan berkata bahawa beliau perlu terus menyandang jawatan Menteri Besar Selangor hingga berakhirnya penggal sekarang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...