Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Friday 1 August 2014

Datuk Seri Mohd Najib perlu berani putuskan hubungan Isreal

Dagangan RM2.87b, putuskan hubungan dengan Israel

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar sekali lagi merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar bertindak berani dengan memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel yang pada tahun 2010 sudah pun bernilai RM2.87 billion.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menggesa masyarakat dunia agar membuat tindakan yang sama bagi keamanan sedunia.

Katanya, usaha yang giat perlu dilakukan untuk memecahkan tembok sempadan yang memisahkan Semenanjung Gaza dengan wilayah Palestin yang lain, yang kini dianggap sebagai penjara terbuka terbesar di dunia.

“Sikap mendiamkan diri oleh negara-negara Islam yang lain seperti Mesir dan Arab Saudi tidak boleh kita ikuti, apalagi biarkan berlanjutan,” tegasnya yang juga Naib Presiden PKR dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Israel memanggil 16,000 orang askar simpanan selepas rejim Zionis itu meminta Amerika Syarikat membekalkan senjata tambahan selesai Gaza dibedil secara berterusan. Lebih malang, laporan media melaporkan Amerika Syarikat telah pun bersetuju untuk membekalkan senjata tambahan; yang bakal digunakan di dalam serangan yang memangsakan lebih 1,400 warga Gaza yang mana dilaporkan lebih 85 peratus daripadanya rakyat tidak berdosa termasuk kanak-kanak.

Perkembangan ini amat mengecewakan dan amat membangkitkan kemarahan dunia. Tidakkah sepatutnya keamanan, dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa krisis ini yang menjadi keutamaan bagi Amerika Syarikat?

Pesuruhjaya Tinggi Hak-hak Kemanusiaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay telah pun menyeru kuasa-kuasa dunia untuk menggesa Israel bertanggungjawab ke atas jenayah perang yang diakukan negara teroris itu; yang melibatkan perlanggaran undang-undang kemanusian antarabangsa; termasuklah kontroversi penggunaan senjata yang diharamkan terhadap rakyat biasa.

Perumahan awam, ambulan, premis sekolah UNRWA dan infrastruktur-infrastruktur utama Gaza termasuk satu-satunya stesen janakuasa juga tidak selamat daripada serangan Israel ini. Navi Pillay menambah; serangan-serangan ini adalah melanggar Konvensyen Geneva. Beliau berkata, “kita tidak boleh membiarkan sikap tidak bertanggungjawab ini berterusan”.

Sekiranya PBB telah membuat kenyataan bahawa kedua-dua belah pihak telah melakukan jenayah, tidakkah negara yang membekalkan senjata juga sepatutnya dianggap bersalah malah bersubahat dengan jenayah tersebut?

Apakah yang membezakan perbuatan Amerika Syarikat dengan perbuatan Russia yang membekalkan senjata kepada puah pemisah Ukraine (yang didakwa menembak jatuh MH17) - kini mendapat bantahan keras daripada AS? Jelas bahawa AS punyai penanda aras moral yang berbeda buat kedua-dua isu ini.

Isu rampasan dan penjajahan bumi Palestin ini telah berlarutan begitu lama, dan sebuah tindakan yang tegas mesti diambil untuk memastikan keselamatan serta keamanan bagi rantau tersebut. Jelas Amerika Syarikat langsung tidak mempunyai minat untuk memastikan keselamatan serta hak-hak rakyat Palestin terjamin. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kerajaan-kerajaan dunia yang lain untuk bersatu untuk menamatkan krisis kemanusiaan ini.

Dengan persetujuan genjatan senjata oleh Hamas dan Israel yang akan berlangsung selama 72 jam, Malaysia melalui OIC atau NAM perlu segera mengambil peluang untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada wilayah tersebut melalui udara dan laut. Kerajaan Malaysia boleh mengerah pesawat TUDM untuk menyampaikan bantuan sementara peluang ini masih terbuka dan bekerjasama terus dengan Aqsa Syarif, Viva Palestina Malaysia dan Mapim dalam penyaluran bantuan.

Pun begitu, bantuan ini perlu disalurkan secara berterusan dalam satu usaha yang boleh kita gelar sebagai “Gaza Airlift”, seperti mana tindakan Amerika Syarikat melalui pentadbiran Presiden Harry S. Truman yang menghantar bantuan kepada Berlin Barat dalam “Berlin Airlift” apabila sekatan kepada wilayah tersebut dibuat oleh Soviet Union pada tahun 1948. Dalam kesempatan terkini di Gaza, Kalau AS enggan, maka kita wajib bertindak!

Saya juga sekali lagi merayu kepada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, agar bertindak berani dengan memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel (yang pada tahun 2010 sudah pun bernilai RM2.87 billion), dan juga menggesa masyarakat dunia agar membuat tindakan yang sama bagi keamanan sedunia.

Usaha yang giat perlu dilakukan untuk memecahkan tembok sempadan yang memisahkan Semenanjung Gaza dengan wilayah Palestin yang lain, yang kini dianggap sebagai penjara terbuka terbesar di dunia. Sikap mendiamkan diri oleh negara-negara Islam yang lain seperti Mesir dan Arab Saudi tidak boleh kita ikuti, apalagi biarkan berlanjutan.

Masa akan berlalu dengan kemaraan kezaliman Israel yang berterusan. Cukuplah! Kita punyai tanggungjawab moral untuk memastikan kegilaan serta kezaliman ini dihentikan - dalam ruang lingkup kuasa yang ada pada kita. - HARAKAH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...