Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Friday, 19 December 2014

Kembara indah Lisa


Ibarat sirih pulang ke gagang, Lisa Surihani kembali beraksi dalam karya terbitan Red Films, Manisnya Cinta Di Cappadocia selepas Goodbye Boys dan Istanbul Aku Datang.
Lisa yang merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-26 (FFM26) menerusi Istanbul Aku Datang, tidak sabar-sabar menanti reaksi penonton terhadap taruhan terbaru pengarah yang juga sahabatnya, Bernard Chauly bermula 11 Disember ini.
Anak jati Kuala Lumpur ini mengakui pengalaman menjayakan filem ini sungguh menyeronokkan, apatah lagi dia memahami cara kerja Red Films dan Bernard.
"Yang boleh saya simpulkan, bekerja dengan pasukan ini satu pengembaraan indah. Kami sudah lama kenal dan seronok dapat bergabung semula dalam projek ini.
"Saya tak perlu risau atau fikir banyak perkara apabila bekerja dengan produksi ini kerana saya tahu cara kerja mereka. Daripada tunjang utama hinggalah sekecil-kecil tugas, semuanya profesional dan sangat komited.
"Lebih menarik, mereka akan sediakan kelas lakonan dan ia dikendalikan Bernard sendiri. Sebagai pengarah, dia ada visi bagaimana setiap karakter itu perlu dibawa dan dia akan kawal perimeter perwatakan yang bakal pelakon kupas.
"Kita akan nampak dengan jelas apa dia mahu dan secara tidak langsung memudahkan penyampaian apabila penggambaran berlangsung.
"Sepanjang bengkel, setiap pelakon akan mengupas karakter, malah masing-masing kena tahu latar belakang setiap watak dan Bernard akan pantau.
"Mana yang tidak perlu, dia akan cantas cepat-cepat supaya pembawaan karakter itu tidak lari dari apa yang dia bayang-kan," katanya ketika bertandang ke Balai Berita, baru-baru ini.
Lisa juga sangat teruja dapat bekerjasama dengan Nur Fazura Sharifuddin buat kali pertama. Malah, ia antara sebab utama mengapa dia menerima tawaran ini.
Meskipun sudah lama kenal Fazura, mereka tidak pernah rapat dan apabila perlu menjayakan watak sebagai adik-beradik, pasti ia menjadi cabaran besar buat kedua-duanya.
"Sudah lama saya teringin bekerjasama dengan Fazura dan peluang diberikan Bernard umpama bulan jatuh ke riba. Awal kemunculan dulu, kami pernah digandingkan sebagai penghias muka depan majalah, tetapi belum pernah bekerjasama di TV mahupun layar perak.
"Kalaupun bertemu di mana-mana acara, kami sekadar bertegur sapa. Memang mencabar apabila perlu bina keserasian sebagai adik-beradik kerana kami tak pernah rapat.
"Bagaimanapun, apabila dari awal kedua-dua pihak ada keterujaan untuk bekerjasama, kami cepat menyesuaikan diri dan sangat selesa antara satu sama lain. Kami jadi sangat rapat di lokasi, malah berkawan baik hingga ke hari ini," katanya.
Lisa akui antara dirinya dan Fazura ada persamaan dan barangkali kerana itu mereka serasi. Paling ketara, mereka tidak boleh duduk diam dan individu yang sistematik.
"Dari dulu saya jenis yang sistematik dan sangat teliti. Saya tak suka tengok benda bersepah atau tidak tersusun. Sebagai contoh, duit dalam dompet kena letak ikut susunan, kalau bercampur aduk dengan susunannya dan ada pula resit diselit sekali, saya akan rimas.
"Semua barang saya akan disusun ikut keperluan. Skrip saya akan bertanda ikut konti supaya lebih mudah dirujuk dan mana babak yang sudah buat, saya akan lipat.
"Tak sangka Fazura pun begitu orangnya. Skripnya juga bertanda seperti saya punya. Dia sangat sistematik dan prihatin soal kesihatan dan kecantikan.
"Sepanjang penggambaran, dia akan bawa sekali ubat dan vitamin, termasuk minyak untuk disapu ketika sakit kepala. Kami pun sama-sama tak reti duduk diam. Sepanjang hari aktif dan bertenaga," katanya.
Menyingkap sisi peribadinya, Lisa akui hari-hari dilaluinya sungguh bahagia. Dia bersyukur dianugerahkan suami penyayang dan sangat memahami. Kata Lisa, pada awal perkahwinan dia pernah ditegur suami, Yusry Abdul Halim apabila gemar memendam rasa. Menjadi tabiatnya sejak kecil, jika tidak suka atau bersetuju dengan sesuatu perkara, dia akan diam membisu.
Bagaimanapun, Yusry membuka matanya mengenai betapa pentingnya komunikasi dua hala jika mahu mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Bagi Yusry, berdiam tidak akan menyelesaikan apa-apa, sebaliknya berpotensi mengundang ketegangan dalam hubungan.
"Betul juga cakap Yusry. Kalau tak suarakan apa yang terbuku di hati, macam mana pasangan akan tahu dan faham apa yang kita rasa.
"Selepas ditegur, saya mula bersikap terbuka. Kalau tak suka atau marah, saya tak akan simpan seorang diri, sebaliknya akan cakap dan dia pun boleh terima.
"Alhamdulillah, dia anugerah terbaik buat saya. Kami sangat bahagia dan melalui kehidupan normal seperti pasangan suami isteri lain," katanya riang.
Kata Lisa, dia dan Yusry juga sentiasa menyemarakkan hubungan cinta dengan menghabiskan masa bersama. Sesibuk mana pun, baik dia mahu pun Yusry akan tetap mencari masa, sama ada dia datang menjenguknya di lokasi penggambaran atau dia menemani suami menyelesaikan kerja.
"Kalau Yusry bawa balik kerja ke rumah, saya akan temankan dia di bilik kerja. Selalu juga kami cari masa untuk bercuti.
"Kami jenis yang sempoi, tak semestinya nak bercuti kena cari destinasi jauh. Di ibu kota pun boleh, kami akan tidur di hotel dan habiskan masa bersama.
"Pernah kami keliling Kuala Lumpur macam pelancong asing. Dari hotel, kami naik teksi dan jalan-jalan. Seronok juga, tak payah penat memandu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:04 AM
- myMetro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...