Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Friday 19 December 2014

Benarkah Alyah Hamil?


Apabila kisah perkahwinannya bersama komposer dan pengarah muzik, Datuk Ramli MS selesai, tentu dia kini mampu menarik nafas lega.
Bagaimanapun, menjadi adat jika zaman bujang ditanya bila nak kahwin, apabila berkahwin pula soalan bila nak menimang cahayamata jadi persoalan.
Malah, soalan itu sinonim dalam kalangan masyarakat kita yang rata-rata memang suka menjaga tepi kain orang lain.
Semua itu cuba diletak ke tepi kerana yang penting bagi Alyah, 33, kerjaya seni dan cerita peribadi harus seiring. Dia tidak mahu kisah peribadi lebih menjadi bahan bualan peminat berbanding kerjaya nyanyiannya.
"Syukur kerana tahun ini saya melihat produk dan kisah peribadi bergerak seiring. Produk pun jalan, tawaran duta produk pun jalan dan saya menganggap ini perkara positif.
"Namun, tak dinafikan ada juga rasa risau kalau gosip dan kontroversi lebih ke depan seperti awal-awal dulu," katanya yang menafikan berita kehamilannya seperti diperkatakan baru-baru ini.
Enggan disapa Datin Alyah, penyanyi lagu Tidak Mungkin Kerana Sayang ini lebih setahun bergelar isteri.
Katanya, dia tidak mampu menutup mulut orang lain yang tidak mahu menghormati privasi mereka dan yang penting sentiasa berfikir positif dan memberi tumpuan kepada kerjaya.
"Kehidupan buat masa ini semuanya baik, hanya status bertukar. Cuma setengah perkara saya tidak boleh kongsi. Ia waktu untuk saya belajar banyak benda.
"Saya kena belajar untuk bijak menangani 'stress' (tekanan). Untuk itu, saya sering menonton rakaman video ceramah agama di laman YouTube.
"Kita kena sentiasa tengok orang bawah dan golongan yang lebih susah dari kita. Oleh itu kena sentiasa bersyukur," katanya.
Enggan bercerita lebih lanjut mengenai kisah rumah tangganya, Alyah yang sibuk menjalani bisnes berkaitan fesyen Muslimah menggunakan jenama Gaya Alyah kerap turun padang ke aktiviti bazar dan festival niaga.
Katanya, sejak diberi peluang membawa jenamanya ke lokasi bazar, dia lebih dekat dengan peminat. Apatah lagi dia juga memberi peluang kepada rakannya untuk turut mempromosi produk mereka di tapak niaganya.
"Peluang sebegini patut diambil sebab ia baik untuk artis merancang masa depan mereka. Pada masa sama, boleh jumpa semua orang yang dulunya hanya boleh berkumpul apabila ada persembahan atau aktiviti promosi album.
"Masa ini, ramai artis lebih banyak menghasilkan single. Album fizikal pula kurang mendapat tempat, lalu aktiviti sesi bersama peminat juga semakin kurang," katanya yang berpengalaman 14 tahun dalam bidang seni.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan akui dirinya bukan saja dihambat kontroversi dalam bidang nyanyian, malah perniagaan. Terbaru, dia dikatakan menarik diri pada saat akhir di beberapa acara festival niaga dan pernah juga tidak muncul di gerai sendiri walaupun berjanji dengan penganjur dan peminat.
Dengan tenang, Alyah menjelaskan, dia tidak akan mengambil tapak niaga jika tidak mampu memberi komitmen.
"Selalunya penganjur sebegini tidak berhubung terus dengan saya atau pihak pengurusan, sebaliknya menggunakan orang tengah.
"Contohnya, penganjur menawarkan tapak kepada saya melalui seseorang yang saya kenal dan orang itu bertanya pada saya berminat atau tidak.
"Perjanjian tidak dibuat secara hitam putih dan kadangkala persetujuan hanya secara lisan tanpa perbincangan lanjut. Akhirnya bila saya tidak dapat beri komitmen, saya pula disalahkan," katanya.
Kata Alyah, dia bakal berniaga di The Grand Strand Bazaar di Encorp Strand Mall, Kota Damansara bermula 19 Disember hingga 4 Januari 2015.
Penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor itu akui ada juga pihak penganjur yang terlebih dulu meletakkan nama dan gambar di poster promosi bazar tanpa pengetahuan dan persetujuannya.
Enggan membangkitkan isu menjadi panas, Alyah akan berhubung dengan penganjur untuk menurunkan nama dan gambarnya secara baik.
Katanya, dia tidak berniat menyaman penganjur yang suka mengambil kesempatan, sebaliknya berharap mereka sedar diri dan insaf daripada menipu serta mempergunakan nama orang lain.
"Lagipun, saya tidak salahkan mereka sebab mahu tarik pengunjung. Saya sendiri akan turun padang kalau buka tapak niaga walaupun sekejap.
"Walaupun sibuk dengan aktiviti bazar, saya dalam proses menyiapkan album yang tertangguh lapan tahun. Ini album solo keempat saya selepas Destinasi (2002), Permata (2004) dan Alyah (2008).
"Setakat ini ada dua lagi lagu baru untuk melengkapkan album ini. Antara sebab album itu tertangguh ialah faktor kos tinggi dan keadaan pasaran album yang tidak mengizinkan sejak lebih sedekad lalu," katanya yang kini popular dengan lagu Sesal Separuh Nyawa.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:04 AM
- myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...