Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Friday 19 December 2014

Rita Rudaini Mokhtar Tidak Mahu Ungkit


Akhir tahun lalu, pelakon jelita Rita Rudaini Mokhtar, 38, bersama rakan kongsinya tampil mengeluarkan produk makanan kesihatan dan kecantikan. Sambutan peminat dan pengguna sangat menggalakkan. Berdepan kontroversi rumah tangga dan isu perceraian waktu itu tidak menghalang Rita mengejar cita-cita demi membina masa depan lebih baik, terutama buat dua cahaya matanya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Rafqa Arjuna. Bagaimanapun, baru-baru ini, pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Mami Jarum Junior itu membubarkan syarikat yang ditubuhkan bersama rakan kongsi dan tampil dengan produk baru diusahakan bersama keluarga. Pelbagai spekulasi timbul berikutan pembubaran syarikat ditubuhkan serta tindakan menghentikan pengeluaran produk berkenaan. Rita yang melancarkan syarikat dan produk terbarunya baru-baru ini, bagaimanapun enggan memberi komen lanjut mengenai apa yang terjadi. Sewaktu ditemui, dia lebih berminat bercerita mengenai perniagaan baru diusahakan iaitu Rudaini Beaute yang mengetengahkan tiga produk iaitu Rudaini Beaute Skincare, Masker Angel Mask dan Love My Coffee. "Saya tidak mahu memburukkan mana-mana pihak. Apa yang berlaku saya jadikan pengajaran. Menerusi pengalaman dilalui, saya ambil keputusan untuk buka perniagaan baru bersama keluarga," katanya. Tegas Rita, berniaga ada risiko dan tidak boleh beranggapan apa yang diusahakan itu akan berjaya sepanjang masa. "Apabila berkongsi perniagaan, perkara pertama yang perlu ditekankan adalah keserasian. Belajar daripada pengalaman, saya buka perniagaan baru dan berkongsi dengan darah daging sendiri. Itu buat saya rasa lebih selesa dan selamat," katanya. Ada pandangan mengatakan mengusahakan perniagaan bersama ahli keluarga lebih menyusahkan, terutama apabila membabitkan wang ringgit. Ia boleh memutuskan ikatan kekeluargaan dan kesannya lebih menyakitkan. Bagaimanapun, lain pula pendapat Rita yang menyifatkan berkongsi dengan keluarga lebih mudah kerana kenal karakter masing-masing. "Bergaduh macam manapun, apabila ada pertalian darah, tentu mereka tidak tergamak melakukan sesuatu yang buruk atau bertindak kejam memusnahkan perniagaan diusahakan. "Berbeza andai kita berurusan dengan orang luar, baik macam mana pun kita tidak tahu hati budinya, malah mungkin ada yang sanggup melakukan perkara yang kita tidak jangka," katanya. Tegasnya, hubungan kekeluargaan ibarat air dicincang tidak akan putus, andai ada masalah, mereka tetap ada di sisinya. "Kita tahu baik buruk adik-beradik. Daripada gerak tubuh dan riak wajah, kita tahu mereka jujur atau tidak. Pada saya, dalam mengusahakan perniagaan, biar susah dulu dan jangan menangis kemudian. "Mengenai untung rugi perniagaan diusahakan sebelum ini, saya tidak mahu ungkit. Rezeki ada di mana-mana dan kalau kita ikhlas, insya-Allah ia semakin bertambah," katanya. Tambahnya, yang penting dalam berniaga, jangan sekali-kali berputus asa. Andai apa diusahakan kini tidak mendapat sambutan, dia boleh mencari jalan untuk memasarkan produk lain pula. "Setakat ini produk Rudaini Beaute menunjukkan perkembangan positif, malah permintaan tak pernah putus. "Mungkin ini yang dikatakan rezeki orang teraniaya. Doa saya dimakbulkan. Saya anggap kejayaan membuka perniagaan ini menumpang rezeki anak. "Saya ikhlas mengusahakan perniagaan ini. Saya mahu pelanggan merasai sendiri cantik luar dalam seperti apa yang saya rasai. Saya percaya, dengan keikhlasan saja pengguna akan percaya. "Saya tidak berani menipu pelanggan kerana wang hasil jualan dan keuntungan menjadi darah daging. Jadi biar saya lakukan perniagaan ini dengan cara dan jalan betul," katanya. Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:05 AM -  myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...