Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Friday 19 December 2014

Akhirnya Hajat Farrish Zaquan Ramli (Cat) Tercapai


Sudah dua tahun Cat atau nama sebenarnya Farrish Zaquan Ramli merancang menunaikan ibadah umrah, namun ada saja halangan mendatang. Namun awal bulan ini, rezeki datang bergolek apabila ILCreative Ventures dengan kerjasama Halcent Holidays Anda Tours Sdn Bhd dan Al Safwa Orchid (Asia) Sdn Bhd sudi menajanya berkunjung ke Makkah.
Tawaran keemasan itu disambut dengan penuh syukur. Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa gembiranya Cat apabila terpilih turut serta dalam program Kembara Umrah VIP Muhasabah Cinta.
"Apabila berkumpul dengan rakan, majoriti pernah menunaikan umrah. Mereka akan bercerita pengalaman di Makkah dan saya sekadar mendengar.
"Lama-kelamaan timbul keinginan untuk ke Makkah. Dua tahun saya mencuba tetapi tidak kesampaian. Sampailah satu malam, selepas solat, saya berdoa semoga dapat pergi ke tempat yang indah. Keesokan harinya, Zafri Nazarudin menghubungi saya dan menawarkan tajaan berkenaan.
"Ini satu keajaiban dalam hidup saya. Niat sudah lama ada dan tanpa disangka ia dipermudahkan Ilahi.
"Mereka tawarkan saya pergi bersama isteri tetapi memandangkan orang rumah saya pernah ke sana, tempatnya diberi kepada ibu," kata Cat.
Bakal menjalani ibadah umrah bersama ibunya, Ramlah Muhamed, 70, dan Ustaz Hanafiah Abd Malek serta jemaah lain pada Januari depan, Cat mengakui dia ternanti-nanti keajaiban lain menyusul.
Andai sebelum ini dia sibuk dengan karier nyanyian, lakonan serta menghasilkan lagu, kebelakangan ini dia banyak menghabiskan masa bersama isteri dan tiga zuriat mereka.
Jelas Cat, jiwanya seakan-akan kosong dan keseronokan bergelar anak seni kian surut. Bagaimanapun, dia masih menyanyi dan berlakon namun dilakukan secara santai. Dia juga masih aktif menulis lirik dan menyiapkan kira-kira 180 lagu.
"Jiwa kosong bukan bermakna saya merajuk, kecewa atau jemu dengan industri. Yang saya maksudkan adalah saya tidak lagi melihat arena seni sama seperti awal pembabitan dulu.
"Lagu yang saya hasilkan lebih cenderung diminati pendengar Indonesia yang menetap di Malaysia dan diterima baik masyarakat luar bandar. Mungkin golongan ini lebih menghargai muzik yang saya perjuangkan.
"Terbaru, saya merakam lagu berjudul Mata Hati dengan Zafri. Lagu ini berunsur kerohanian dan saya tidak meletakkan harapan ia akan meletup. Kalau orang suka, Alhamdulillah," katanya yang menubuhkan kumpulan baru iaitu Tiga Swagger yang turut dianggotai Syifa Diana, Beeru, Eddie dan Rangga.
Ditanya adakah pemergian ke Tanah Suci menjadi titik tolak penghijrahannya, Cat berkata, jika dia berubah, media dan rakan dalam industri tidak akan bertemunya lagi.
"Jika berhijrah, saya akan bersara. Penghijrahan bukan hanya dalam diri tetapi juga berpindah dan menetap di tempat lain.
"Saya belum menetapkan lagi ke mana destinasi yang bakal dituju. Isteri bercadang melanjutkan pengajian, mungkin kami terus bermaustatin di sana atau mungkin ada perancangan lain," katanya.
Kembara Umrah VIP Muhasabah Cinta 2015 akan berlangsung empat bulan berturut-turut, di mana selepas Cat, Mawi pula terpilih mengerjakan umrah bersama Ekin pada Februari, diikuti Fahrin (Mac) dan Awie (April).
Pakej Kembara Umrah VIP Muhasabah Cinta 2015 mengetengahkan pengisian berbeza dengan pakej biasa, malah penganjur turut menyediakan penginapan bertaraf lima bintang di Makkah dan Madinah.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:04 AM - myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...