Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Friday 10 April 2015

Anggota keselamatan terlibat IS pengkhianat

PETALING JAYA 9 April - Anggota keselamatan negara yang disyaki terlibat dalam pergerakan kumpulan militan Negara Islam (IS) disifatkan sebagai pengkhianat negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, anggota-anggota keselamatan negara tidak sepatutnya terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan kerana tanggungjawab mereka adalah untuk menjaga dan memelihara keamanan masyarakat.

Katanya, ketika beliau masih berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat kes anggota keselamatan terlibat dalam kumpulan keganasan itu namun tidaklah begitu serius.

“Bagi saya mereka yang terlibat dalam aktiviti sebegitu adalah pengkhianat negara.
“Malah semasa masih berkhidmat dahulu, tiada kes seumpama itu tetapi ada kes anggota berasa
simpati dan kita berjaya kenal pasti sejak awal seterusnya memberi pemulihan kepada mereka sebelum perkara itu berlarutan,” katanya dalam sidang akhbar Komuniti Prihatin Jenayah Malaysia (MCCC), di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan, dua daripada 17 individu yang ditahan merupakan anggota tentera yang cuba digunakan kumpulan militan IS untuk mencuri senjata api milik pasukan keselamatan.

Beliau yang juga Pengerusi MCCC berkata, anggota keselamatan yang terjebak dalam kumpulan militan itu perlu dikenakan tindakan segera termasuklah diberi pemulihan oleh jabatan agama.
“Mereka ini sebenarnya mempunyai salah faham tentang pengertian jihad dan jabatan agama perlu memberi penerangan kepada semua pihak khususnya orang muda.

“Malah saya juga mencadangkan agar pergerakan berkaitan keagamaan dipantau rapi. Kenal pasti orang luar yang datang ke nagara ini dan tujuan apa mereka ke sini termasuklah apa yang diajar mereka,” katanya.

Menyentuh tentang perkembangan aktiviti militan di Malaysia, Musa berharap pihak berkuasa negara terus mempertingkatkan kerjasama risikan dengan pelbagai negara meskipun Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) dibubarkan tahun lalu.

“Sebelum saya bersara beberapa tahun lalu, sebuah jabatan khusus menangani pengganas yang bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi negara lain seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ditubuhkan namun kemudiannya te­lah dibubarkan.

“Saya tidak tahu setakat ini bagaimana jalinan kerjasama risikan dengan agensi luar namun saya yakin perkara itu ada dan harus dipertingkatkan lagi pada masa kini,” katanya yang bersetuju jabatan khusus perlu ada dalam menangani cabaran keganasan yang semakin meruncing ketika ini.
Mengulas tentang kewujudan Rang Undang-Undang Pen­ce­ga­han Keganasan (POTA) 2015, beliau berkata, peruntukan undang-undang itu adalah tepat pada masanya.

“Apabila semua undang-undang tegas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat dilupuskan, kita lihat ramai penjenayah bebas dan kejadian jenayah berlaku di sana ini sehingga rakyat menjadi mangsa dan menimbulkan ketakutan dalam masyarakat,” katanya.


Sumber Maklumat Dari RODELIO JUNJUN TAUCAN dan ILAH HAFIZ AZIZ
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...