Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday, 31 July 2014

Hati-Hati Gores & Menang

Cake terima aduan lebih 20 kes gores dan menang

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menerima lebih 20 aduan berhubung kes penipuan peraduan gores dan menang daripada pelbagai pihak termasuk kalangan golongan profesional sehingga Julai tahun ini.

Presidennya, Datuk Yusoff Ismail berkata, walaupun kerap kali meminta orang ramai supaya berhati-hati daripada terjebak ke dalam sindiket penipuan seperti itu namun masih ramai yang terpengaruh.

Menurutnya, aduan yang diterima termasuk daripada kalangan guru, bekas pensyarah, jururawat, kontraktor termasuk anggota pasukan keselamatan.

“Bagi mengelak diri dari menjadi mangsa, kita jangan layan sebarang pelawaan mana-mana agen jualan langsung yang cuba menarik tumpuan dengan memberi hadiah percuma ketika masuk ke dalam kompleks membeli-belah.

“Selalunya apabila dilayan ia akan membuka jalan untuk mereka memerangkap mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan kes dapat diselesaikan namun mereka perlu campur tangan termasuk menghantar notis kepada syarikat terbabit serta berulang kali melakukan susulan supaya memulangkan semula wang mangsa.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya atau memberi layanan kepada ejen-ejen gores dan menang yang menawarkan penjualan barangan mereka dengan berpeluang memenangi hadiah istimewa.

Saranan itu dibuat susulan daripada kelicikan sindiket penipuan gores dan menang yang menggunakan taktik terbaru cuba memperdaya orang ramai terutamanya golongan warga emas dan pesara dengan menawarkan hadiah berupa pakej mengerjakan umrah, pelancongan selain barangan seperti kereta serta motosikal.

Difahamkan bagi mengelak kegiatan dikesan, sindiket itu kerap menukar nama syarikat dan lokasi premis.

Yusoff berkata, pengguna juga diminta lebih berwaspada tanpa mengambil mudah menyerahkan kad kredit atau debit kepada agen jualan ketika diminta berbuat demikian kerana membuka peluang kepada mereka melakukan transaksi pengeluaran keseluruhan wang yang ada dalam kad secara dalam talian.

“Kita juga menggesa supaya Bank Negara Malaysia (BNM) memantau penggunaan mesin elektronik perbankan mudah alih supaya tidak boleh digunakan secara berleluasa sebaliknya hanya tempat-tempat tertentu sahaja yang dibenarkan seperti di pasaraya serta stesen minyak.

“Penggunaan secara meluas tanpa kawalan termasuk boleh digunakan di pasar malam boleh menyebabkan lebih ramai pengguna cenderung untuk ditipu walaupun tidak membawa wang tunai sewaktu membeli belah,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...