Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday 31 July 2014

Rintihan Peniaga Rawang

'Tolong dengar masalah kami'

Kumpulan peniaga yang membuat bantahan mengenai masalah infrastruktur di kawasan perniagaan mereka.
RAWANG - Peniaga Pasar Moden Bandar Country Homes mendesak masalah melibatkan infrastruktur, keselamatan dan penjaja haram diberi perhatian serius dan diselesaikan segera.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Moden, Goh Len Foo berkata, sebanyak 15 perkara dipanjangkan untuk perhatian pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Adun Rawang dan Ahli Majlis MPS untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, masalah berbangkit yang gagal diselesaikan sejak pasar dibuka tujuh tahun lalu nyata mengecewakan peniaga hingga ada di antaranya angkat kaki.

“Penjaja haram menutup pintu rezeki kami yang terpaksa bayar sewa lesen dan penyelenggaraan sedangkan mereka tak perlu keluar modal.

“Bila ada operasi mereka kosongkan tempat awal-awal. Macam ada pemberi maklumat yang menutup aktiviti mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menyentuh isu keselamatan, pihaknya telah membuat permohonan pemasangan pagar namun sehingga kini tiada sebarang jawapan.

Katanya, pagar diperlukan bagi memudahkan pengawal mengawal pihak yang keluar masuk ke pasar terutama waktu malam kerana kawasan berkenaan sering menjadi tempat lepak kaki mabuk.

Seorang peniaga, Rohaya Kadir, 50, berkata, caj penyelenggaraan yang diberikan seharusnya digunakan untuk tingkatkan kemudahan dan membaiki kerosakan.

“Kami membayar RM90 untuk penyelenggaraan jadi seharusnya aduan yang dibuat diambil kira segera.

“Bila aduan tidak diselesaikan kami memang tidak gembira dan ada yang tak sanggup bertahan lama. Buktinya dari sepuluh unit kedai makan di tingkat atas hanya tinggal empat yang masih meniaga,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Zainudin Mujtahid, 60, berkata, jika MPS hadapi kesukaran menyelesaikan masalah, soal pengurusan boleh diserahkan kepada peniaga.

“Sebelum ini kita jaga baik saja dan peniaga lebih tahu apa yang terbaik sebab berada di lapangan.

“Aduan peniaga tidak dilayan malahan pihak terlibat tidak tampil membuat sesi dialog mendengar masalah kami menjadikan kami tersepit dan mengganggu bisnes,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini juga pernah melaporkan masalah penyelenggaraan bangunan yang rosak berpunca sistem paip menyebabkan beberapa atap gerai rosak.

Malahan sistem tertutup pasar berkenaan juga menyebabkan aliran udara terperangkap menyebabkan perlu tambah baik bangunan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...