Stevia Pengganti Gula Racun Putih

Thursday 31 July 2014

Pengemis kaut untung mudah

Pengemis kaut untung mudah

SUNGAI BULOH - Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Pasar Malam Paya Jaras mendesak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya terhadap sindiket pengemis warga asing yang semakin berlarutan di kawasan tersebut.

Pengerusi persatuan berkenaan, Mohd Isa Talib berkata, sejak tahun lalu, bilangan pengemis warga asing di kawasan berkenaan semakin bertambah dan situasi itu dipercayai didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaut keuntungan cara mudah.

Menurutnya, kebiasaannya pengemis berkenaan akan datang secara berkumpulan pada hari operasi pasar malam bagi menjalankan kegiatan mereka.

“Mereka akan dihantar seramai empat hingga lima orang pada hari operasi pasar malam untuk meraih simpati dan meminta bantuan wang daripada orang awam.
“Hakikatnya, setiap daripada mereka sihat tubuh badan dan mampu untuk bekerja sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pengemis warga asing tersebut akan diturunkan di lokasi berbeza sekitar tapak pasar malam itu bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu masyarakat awam.
Menurutnya, selepas operasi perniagaan tamat, pengemis berkenaan akan dijemput semula dengan menaiki van di lokasi tertentu yang telah ditetapkan.

“Kegiatan mereka agak licik dan sukar untuk dikesan dan beberapa peniaga juga pernah melihat mereka diturunkan di suatu lokasi berhampiran kawasan ini,” katanya.

Makin dihalau, makin ramai datang

Dalam pada itu, Bendahari Persatuan Pasar Malam Paya Jaras, Nik Mat Leong Abdullah berkata, pihak JKKK kawasan berkenaan pernah beberapa kali mengambil tindakan untuk menghalau pengemis warga asing berkenaan sebelum ini.

Namun begitu, Nik Mat memaklumkan tindakan berkenaan dilihat tidak berhasil memandangkan semakin ramai pengemis yang tertumpu ke kawasan ini.

“Jika mereka benar-benar tidak berkemampuan kami tak kisah, tapi kebanyakan daripadanya bergerak di bawah satu sindiket yang aktif sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi membolehkan kegiatan berkenaan tidak lagi berlarutan dan jumlah pengemis warga asing juga dapat dikawal.

Polis, JKM sentiasa pantau

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Asisten Komisioner Junaidi Bujang memaklumkan bahawa pihak berkuasa sememangnya sedia maklum mengenai kewujudan sindiket berkenaan dan beberapa siri perbincangan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut dijalankan sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya sentiasa membantu dalam memantau kegiatan berkenaan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk mengambil kesempatan.
“Kita sentiasa jalankan perbincangan bersama JKM dan beberapa operasi juga pernah dilaksanakan,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa akan meneruskan pemantauan bagi mengesan dalang dan suspek yang menjalankan kegiatan sindiket berkenaan khususnya di sekitar kawasan itu.

Info : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...